Sunday, October 9, 2016

Refleksi

        
          Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya, dapat juga saya siapkan kerja kursus Kemahiran Belajar dengan jayanya. Dalam usaha saya hendak menyiapkan tugasan ini, saya telah memperoleh banyak pengetahuan dan pengalaman yang baru di samping saya dapat mengaplikasikannya di dalam pembelajaran sewaktu saya sudah menjadi seorang guru. Pengalaman yang saya peroleh ini adalah amat berharga serta telah menjadikan saya seorang insan yang lebih berpengetahuan dan dapat berfikir secara kritis.

           Kemahiran Belajar merupakan salah satu subjek yang wajib diambil oleh para pelajar Persediaan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PPISMP). Secara jujurnya, kursus ini memberikan idea yang bernas serta inovatif untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang menarik serta bernafas baharu seiring dengan era pembangunan teknologi masa kini. Seperti yang kita sedia maklum, kursus ini banyak memberi manfaat kepada para pelajar sekaligus merupakan medium terbaik bagi melahirkan barisan kepimpinan perguruan yang moden serta mengikut perkembangan semasa.

           Kemahiran belajar merupakan subjek yang dipelajari untuk mendekatkan diri dengan teknologi yang semakin canggih kini. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga (2002), kemahiran diertikan sebagai kecekapan atau kepandaian. Manakala, belajar pula diertikan sebagai memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sehubungan itu, menurut Rosinah Edinin (2014), kemahiran belajar dapat ditakrifkan sebagai keupayaan, kecekapan atau kebolehan seseorang untuk mendapatkan ilmu pengetahuan serta berlakunya perubahan tingkah laku dalam dirinya.

         Dalam melaksanakan kerja kursus ini, terdapat pelbagai faedah yang telah saya kecapi. Antaranya ialah penggunaan celik akal secara optimum dalam menyelesaikan masalah-masalah yang wujud disekeliling kita. Sebagai contoh, tugasan yang diberikan bagi kerja kursus ini ialah saya hendaklah mencipta blog saya sendiri. Pada asalnya, saya sememangnya tidak mengetahuinya cara untuk mewujudkan blog saya sendiri akan tetapi apabila telah dibeitahu oleh pensyarah serta rakan-rakan yang celik IT ini maka saya mudah untuk melaksanakan tugasan tersebut.

         Selain itu, tugasan ini telah melatih pelajar untuk mengumpul maklumat dengan cekap. Hal ini demikian kerana sepanjang pembelajaran saya dalam kursus ini, kemahiran mengumpul maklumat dengan cekap amat penting kerana terdapat tajuk-tajuk tugasan yang meminta saya membuat pembentangan secara berkumpulan dihadapan dengan menggunakan software ‘microsoft powerpoint’. Oleh itu, jika saya tidak mempunyai kemahiran dalam pengumpulan maklumat dengan cekap, agak sukar bagi saya untuk membuat pembentangan dengan mempunyai isi yang padat, mantap dan ringkas.

          Di samping itu, dalam kursus ini juga kita dapat mencungkil serta mengasah bakat dan potensi seseorang. Hal ini demikian kerana saya telah mempunyai kemahiran dalam bidang IT sejak di bangku sekolah lagi tetapi oleh kerana saya kurang mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian maka kemahiran itu semakin lama semakin hilang. Jadi apabila belajar dalam kursus ini, pensyarah-pensyarah cuba mencungkil dan mengasah bakat pelajar-pelajarnya agar pada masa akan datang para pelajarnya menjadi seorang pendididk yang berkemahiran tinggi dalam bidang IT.

            Kemahiran belajar ini juga memudahkan seseorang pelajar untuk mendapatkan ilmu secara sistematik dan bermakna. Sebagai contoh, melalui penggunaan teknologi maklumat ini, ia telah memudahkan saya dalam segala urusan seharian termasuklah dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Selain itu, dengan adanya kemahiran ini dalam setiap diri bakal-bakal pendidik, ia dapat memudahkan kita dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana kita memudahkan pelajar-pelajar untuk mendapat ilmu dengan secara sistematik dan bermakna. Oleh itu, mereka akan mudah memahami dan mengingati apa yang telah diajar.

         Lanjutan daripada itu, saya juga dapat ilmu pengetahuan yang baharu. Walaupun saya telah didedahkan tentang IT ini sejak zaman sekolah lagi, tetapi banyak perkara yang saya tidak ketahui. Sebagai contoh, penggunaan powerpoint dengan sempurna, mencipta blog sendiri dan banyak lagi. Selain itu, apabila saya mempelajari kursus Kemahiran Belajar ini secara tidak langsung ia memupuk keyakinan dalam diri saya untuk berdepan dikhalayak ramai. Hal ini kerana saya seorang yang tidak berani untuk menonjolkan diri tetapi dengan tugasan yang diberikan telah menyebabkan saya untuk berdiri dan menerangkan dapatan kajian saya dikhalayak ramai maka secara tidak langsung perasaan malu di dalam diri itu telah hilang dan digantikan dengan keyakinan diri.

     Kemahiran belajar juga telah mengajar saya untuk menguruskan masa dengan sempurna dan berkesan. Hal ini kerana sebagai seorang pelajar, masa adalah perkara yang paling berharga bagi saya. Ini kerana lumrah menjadi seorang pelajar mempunyai banyak tugasan yang diberikan dan sebagainya. Jadi, saya perlu menguruskan masa dengan tepat dan berkesan agar tiada satu pun kerja saya yang tertangguh atau tidak siap. Oleh itu, saya perlu membahagikan masa antara perkara yang penting dan segera, dengan perkara yang penting tetapi tidak segera ,dan juga dengan perkara yang langsung tidak penting.


         Kesimpulannya, kursus Kemahiran Belajar ini telah memberikan saya pemahaman tentang segala silibus yang telah dipelajari selama beberapa bulan pada semester ini. Saya berharap agar segala ilmu yang saya pelajari selama ini dapat dipraktikkan dan diamalkan dalam kehidupan seharian saya nanti apabila digelar sebagai seorang guru. Saya juga akan menggunakan segala kemahiran tersebut untuk mendidik pelajar-pelajar semasa saya menjalankan tugasan di sekolah kelak.